Apa Yang Menarik Tentang Perayaan Kuih Bulan?

September 30, 2023

Perayaan Kuih Bulan yang diraikan oleh masyarakat Cina ini sudah tidak asing lagi dikalangan masyarakat kita di Malaysia. Akhir-akhir ini kita dapat melihat terdapat banyak kuih bulan dijual dan dipromosikan di pasar raya. Apakah sebenarnya simbolik dan perkara yang menarik disebalik kuih ini? Bagaimana sejarahnya?



Perayaan Kuih Bulan atau nama yang lebih tepat bagi perayaan ini adalah ‘Perayaan Musim Luruh’, namun nama-nama lain seperti Perayaan Kuih Bulan dan Pesta Tanglung masih lagi popular di Malaysia kerana perayaan ini tidak lengkap tanpa adanya kuih bulan atau tanglung di kalangan orang Cina. Perayaan Kuih Bulan ini akan disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 dalam kalendar lunar Cina.



Asal Usul


Perayaan ini secara dasarnya adalah pesta para petani.[1] Di China, bulan purnama kebiasaanya mengambang paling terang pada musim luruh. Pada masa yang sama, musim luruh juga adalah musim menuai. Pada zaman kuno, masyarakat Cina yang berkerja sebagai petani akan meraikan hasil rezeki mereka dengan mengadakan makan besar bersama keluarga sambil mengamati keindahan bulan. Tiada sebarang upacara keagamaan pada masa itu.


Namun begitu, pada zaman sebelum ilmu sains berkembang maju, daripada sikap ingin tahu tentang bulan, lahirlah pelbagai cerita mitos sebagai jalan cara untuk menerangkan ‘keajaiban’ bulan. Contohnya, mengapakah bulan kerap berubah bentuk? Kenapa berlaku gerhana bulan dan dari situlah, lahirnya pelbagai kepercayaan mitos terhadap bulan.[2]


Mooncake festival
SUMBER FOTO : The Star


Manakala pula, istilah 中秋 bermaksud ‘Pertengahan Musim Luruh’, pertama kalinya tercatat dalam buku pra abad ke 2 iaitu Upacara Zhou (周礼), di mana disebut “…pada pertengahan musim bunga, gendang dipukul dan Binshi (sejenis alat muzik) dimainkan; semuanya bertujuan menyambut ketibaan musim panas. Begitu juga dengan Pertengahan Musim Luruh untuk menunggu ketibaan musim luruh.”


Begitu juga dalam Rekod Adat (仪礼) catatan sekitar abad ke 11 SM, terdapat kenyataan bahawa maharaja China ‘menyembah matahari pada pagi musim bunga dan bulan pada malam musim luruh’.


Walaupun demikian, rakyat China hanya mulai memeriahkan perayaan ini semasa zaman dinasti Tang (618–690 M dan 705–907 M) selepas terbitnya mitos-mitos cerita mengenai bulan, antaranya kisah maharaja Tang Ming (Xuanzong) mengunjungi istana di bulan. Sebelum ini, kemeriahan adalah lebih tertumpu pada perayaan Pesta Perahu Naga.[3]



Ritual Menyembah Bulan


Ritual menyembah bulan terkenal semasa zaman Dinasti Ming (1368–1644). Pada setiap tiga tahun, maharaja China akan menghadiahkan daging korban kepada ‘Dewi Bulan’ melalui upacara penyembahan. Para menteri dan tentera juga akan melakukan upacara yang sama. Kebiasaannya penyembahan ini dilangsungkan di taman diraja dalam istana.


Hal ini juga berkait dengan mitos Dewi Bulan yang bernama Chang Er. Sebelum itu Chang Er dikatakan seorang manusia biasa dan memiliki suami bernama Hou Yi. Walaupun terdapat pelbagai versi jalan ceritanya, namun pengakhirannya adalah lebih kurang sama.


Mooncake festival
SUMBER FOTO : Google


Diceritakan, Bumi mempunyai sepuluh matahari. Pada suatu hari, kesemua matahari terbit ke langit pada waktu yang sama, mengakibatkan kepanasan melanda penduduk Bumi. Hou Yi merupakan seorang pemanah handal. Beliau dengan tekadnya menembak sembilan matahari supaya hanya satu matahari sahaja yang terus hidup. Atas jasa baik ini, Hou Yi dihadiahkan sejenis ubat kekal abadi.


Walaupun demikian, Hou Yi tidak terus makan ubat itu kerana beliau tidak mahu hidup kekal abadi tanpa isteri tersayangnya Chang Er. Pada suatu hari semasa Hou Yi keluar memburu, anak muridnya Fengmeng yang dengki dengan kehandalan Hou Yi, telah memecah masuk rumah pasangan itu untuk merampas ubat tersebut. Dalam keadaan kelam kabut itu, Chang Er yang cuba menyelamatkan ubat tersebut tertelan ubat tersebut, lalu kemudian beliau terapung dan terbang di atas langit.



Disebabkan Chang Er telah berubah menjadi dewi yang membolehkannya terapung di langit, beliau memilih untuk tinggal di bulan supaya beliau dapat terus tinggal berdekatan dengan suaminya. Hou Yi pula, apabila sedar atas kejadian itu, merasa sungguh sedih. Sejak hari itu, beliau selalu meninggalkan buah-buahan kesukaan Chang Er sebagai makanan sembahan.[4]


Hasil dari mitos itulah masyarakat Cina dahulu menyembah Dewi Bulan. Akan tetapi itu bukanlah pencetus kepada masyarakat Cina untuk meraikan Perayaan Kuih Bulan. Adapun versi yang agak logik untuk disandarkan kepada perayaan ini adalah disebabkan perjuangan masyarakat Cina dalam menentang penjajahan.



Menggulingkan Penjajah Dengan Kuih


Kisah ini dikatakan asal-usul kuih bulan diraikan pada pertengahan musim luruh. Kuih bulan menjadi makanan khusus kepada perayaan ini dikatakan hasil dari kejayaan masyarakat Cina menggulingkan penjajah Dinasti Yuan (Dai Ön Yeke Mongghul Ulus, 1271–1368). Pada waktu itu dinasti Yuan adalah pemerintah berbangsa Mongolia yang menjajah China dan menjadikan China sebahagian daripada jajahan takluk Empayar Mongolia.


Dipercayai bahawa para pemberontak telah menggunakan kuih bulan sebagai alat komunikasi rahsia di kalangan ahli-ahli dan penduduk China. Dimana mereka meletakkan nota di dalam kuih tersebut.


Tentera Mongolia
SUMBER FOTO : Ancient Origins


Ini kerana pada waktu itu penjajah Mongolia mengawal ketat gerak-geri penduduk China dengan menghantar askar-askar di setiap penjuru perkampungan, di samping menindas mereka. Perlancaran pemberontakan pada hari pertengahan musim luruh itu bertulis di dalam nota bersama kuih:


八月十五杀鞑子 bermaksud: “Bunuhlah orang Tatar (Mongolia) pada hari lima belas haribulan kelapan!”


Maka pada malam itu, semua penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat pun keluar beramai-ramai dengan senjata masing-masing, lalu membunuh askar-askar Mongolia. Kejayaan itu akhirnya menandakan pembebasan China daripada penjajahan.



Lalu terbitlah dinasti baru iaitu Dinasti Ming (明朝) yang akan memerintah selama lebih 200 tahun setelah itu. Sejak dari situ, kuih bulan menjadi makanan khusus pada Perayaan Musim Luruh sebagai cara memperingati usaha kemerdekaan daripada penjajah asing.


Walaupun watak-watak di dalam kisah ini adalah personaliti sebenar dalam sejarah, perlu ditekankan juga bahawa kisah ini hanyalah semata-mata cerita dongeng yang diceritakan turun temurun dan disandarkan kepada watak-watak tersebut. Tiada dokumen asal yang merekodkan kemenangan orang Cina terhadap penjajah Mongol disebabkan pengunaan kuih bulan.[5]



Inovasi Perayaan Kuih Bulan


Kebiasaannya, kuih bulan berbentuk bulan dengan ketinggian setengah jari, walaupun terdapat juga bentuk segi empat tepat. Secara keseluruhan, ia adalah isi pastri tebal disaluti kulit nipis. Dewasa ini, kuih bulan juga terdapat dalam pelbagai perisa.


Di antaranya, pes biji teratai dan pes kacang manis yang paling kerap dijual di pasaran, manakala pandan, durian, dan keladi merupakan perisa moden. Ditambah dengan kekreatifan pasaran, kini terdapat juga kuih bulan yang diperbuat daripada coklat atau jeli.



Festival kuih bulan ini bermula dengan sambutan penting keluarga akan tetapi kini di Malaysia dan Singapura ianya telah menjadi aktiviti luar di mana ia disusuli dengan perarakan tanglung akan diadakan di jalanan.[6]



Bolehkah Muslim Meraikan Perayaan Kuih Bulan?


Hasil penelitian didapati perayaan ini adalah perayaan budaya masyarakat Cina. Ia bukan perayaan agama dan ia boleh disambut oleh muslim. Malah pada hari ini sudah terdapat banyak kuih bulan yang halal yang di sahkan oleh JAKIM. Maka kuih bulan yang halal boleh dimakan oleh muslim.


Adapun pada perayaan ini juga dilakukan juga pesta tanglung. Hal ini perlu dirincikan dengan baik kerana ia ada berkaitan dengan kepercayaan dan ibadat kaum Cina di Malaysia dan Singapura. Tanglung pula perlu dibahagikan kepada dua jenis iaitu tanglung yang digunakan sebagai pelita dan juga tanglung digunakan untuk berdoa.


Tanglung yang digunakan sebagai pelita itu tidak ada signifikan kepada kepercayaan atau agama kerana ia hanya digunakan sebagai lampu pada zaman dahulu. Kebiasaanya ia berbentuk kertas bulat dan api di dalam kertas itu disertakan dengan batang kayu dan ia berfungsi sebagai lampu. Malah ia juga digantung di rumah-rumah.


Tanglung
SUMBER FOTO : China Highlights

Manakala tanglung doa pula mereka melakukan dengan beberapa cara, pertama mereka akan berdoa sambil memegang tanglung sebelum dilepaskan ke udara dan ada juga menulis doa di kertas dan dibakar serta diterbangkan bersama tanglung dengan harapan agar tuhan memakbulkan doa mereka. Hal ini ia terpalit dengan perkara ibadat dan itu boleh dikatakan ritual agama (Chinese folk religion). Hal ini umat Islam dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam melakukan ritual ini.


Satu fakta yang perlu diketahui adalah, pesta tanglung yang sebenar dilakukan pada 15 haribulan 1 (kalender lunar) iaitu pertengahan bulan baru Cina atau dikenali sebagai Cap Go Meh iaitu hari penutup perayaan tahun baru.[7]



Akan tetapi di Malaysia dan Singapura sedikit berbeza kerana mereka menambah pesta tanglung ini pada hari Perayaan Kuih Bulan 15 haribulan 8 (bulan lunar). Hal ini dikaitkan juga dengan kepercayaan dewi bulan yang mana pada malam perayaan tersebut adalah hari bulan mengambang.


Selain daripada tanglung doa itu umat Islam boleh terlibat dengan pesta ini selagimana ia tidak ada unsur yang bercanggah dengan syara’.



Kesimpulan


Perayaan ini memiliki banyak versi asal usul bagi simbolik kepada bulan. Selain masyarakat Cina dahulu sering menikmati bulan purnama pada pertengahan musim luruh, ia juga disusuli dengan beberapa mitos yang mengagungkan bulan.


Dari situ wujudnya kepercayaan terhadap bulan sehingga diterjemahkan kepada sejenis kuih. Malah mereka juga mendakwa kuih bulan ini pernah digunakan ketika melawan penjajah untuk menyembunyikan mesej-mesej di dalam kuih tersebut. Akan tetapi hasil penelitian didapati versi ini juga tidak kukuh untuk disandarkan kepada asal usul kepada perayaan ini.



Mutakhir ini Perayaan Kuih Bulan telah menerima inovasi seperti mana ia disertakan dengan pesta tanglung dan ucapara berdoa. Sedangkan sebelum ini perayaan tanglung di China hanya dilakukan pada hari ke-15 pada bulan bulan yang pertama mengikut kalender lunar dan bukan pada pertengahn musim luruh. Akan tetapi ritual ini sudah diserap masuk ke dalam Perayaan Kuih Bulan juga. Ia menambah kepada simbolik kepersonaan terhadap bulan itu sendiri.


Oleh itu adalah penting bagi umat Islam di Malaysia untuk mengenal sedikit sebanyak kepercayaan bagi masyarakat lain yang diamalkan oleh bangsa Cina, India dan lain-lain agar dapat menguatkan lagi kefahaman dan nilai toleransi di antara satu sama lain.


SUMBER PENULISAN : Firdaus Wong Wai Hung

Comments

  1. Tak pernah lagi merasa kuih bulan.. Macam manalah rasanya..

    BalasPadam
  2. Sekarang bayak kuih bulan ada sijil halal

    BalasPadam
  3. Blog menarik..terima kasih berkunjung ke blog saya ya

    BalasPadam
  4. suka kuih bulan but makan sikit je sbb manis kan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Boleh tahan manis juga 😅. Sekali sekala bolehlah makan.

      Padam

💕 Sebarang pertanyaan & cadangan, sila tinggalkan diruangan komen yer sayang-sayang sekalian!! Fikir yang baik-baik.Tulis yang baik-baik.Insyallah, semuanyer akan baik-baik belaka. Lagi satu, tolonglah jangan klik & sabotaj iklan kita sesedap rasa. Nanti tak pasal-pasal GA suspend akaun kita 😂. Tolong yer sayang-sayang sekalian!!